1. Terdapat kegelisahan di Tingkat Empat. Selama lima tahun lebih, Tingkat Empat kadang-kadang lebih berkuasa daripada Kabinet atau Majlis Tertinggi UMNO. Mereka dapat tentukan dasar dan tindakan Kerajaan. Menteri-menteri kerap meminta pertolongan mereka dan pegawai tinggi Kerajaan merujuk kepada mereka sebelum membuat keputusan. Kontraktor melobi dengan mereka untuk mendapat kontrak dan pelabur juga mengguna khidmat mereka untuk mendapat kelulusan.
2. Dalam semua ini terdapat banyak peluang untuk memperkayakan diri.
3. Sesungguhnya tidak ada yang lebih memuaskan nafsu daripada kuasa tanpa tanggungjawab.
4. Malangnya, jika benarlah Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi letak jawatan pada bulan Mac maka segala-gala kuasa ini akan hilang. Ini adalah satu malapetaka bagi Tingkat Empat. Apakah nasib mereka selepas Mac? Apakah mereka akan berdiam diri dan membenar malapetaka ini timpa mereka dengan begitu sahaja? Tidak adakah sesuatu yang boleh dilakukan oleh mereka untuk menangkis musibah ini?
5. Seperti biasa, terdapat banyak berita angin akan perancangan mereka. Jika boleh, mereka akan halang peralihan kuasa, sekurang-kurangnya buat sekian lama.
6. Kata berita angin mereka sedang menasihat Dato Seri Abdullah supaya tidak letak jawatan apabila sahaja Dato Seri Najib Razak jadi Presiden parti. Kata mereka tidak semestinya Presiden parti jadi Perdana Menteri. Ini bukan syarat dalam perlembagaan negara. Ia hanya amalan parti tanpa peruntukan tertulis. Yang menentu segala-galanya ialah Perdana Menteri. Jikalau Perdana Menteri tidak letak jawatan itu haknya, sepertimana memilih menteri atau timbalan perdana menteri adalah haknya. Biasa terjadi yang dipilih menjadi Timbalan Perdana Menteri bukan Timbalan Presiden UMNO.
7. Apakah Najib akan memberontak? Tidak. Jika ia ternampak akan memberontak ada cara untuk melawannya. Jika dapat dicetuskan keadaan tertentu, seperti rusuhan atau huru-hara, ini boleh dijadikan alasan untuk Dato Seri Abdullah tidak letak jawatan. Ramai ahli UMNO dan ahli Majlis Tertinggi pasti akan sokong Dato Seri Abdullah. Mereka semua terhutang bukan sahaja budi kepadanya.
8. Mungkin ada antara ahli UMNO yang menentang kuat dan bercadang untuk mengadakan undi tidak percaya dalam parti atau dalam Parlimen. UMNO boleh ditangani melalui cara biasa. Jika terpaksa hilang berjuta pun tak mengapa kerana kuasa Tingkat Empat boleh menampung dengan punca-punca yang sudah ada. Apa gunanya wang jika kuasa untuk mendapatnya sudah hilang?
9. Jika ahli Parlimen pula bercadang untuk mengadakan undi tidak percaya dalam Parlimen, ini tidak mungkin berjaya. Sebahagian daripada ahli Parlimen BN mungkin tidak akan sokong tindakan ini. Ahli parti lawan memang hendak Dato Seri Abdullah terus jadi Perdana Menteri. Mereka telah pun menyatakan sokongan mereka. Hadi Awang, Karpal Singh dan Anwar Ibrahim telah menyatakannya secara terbuka.
10. Dengan sokongan ahli parti lawan kepada Dato Seri Abdullah, sukar bagi BN mendapat cukup bilangan untuk meluluskan undi tidak percaya.
11. Jika undi tidak percaya dalam Parlimen tidak berjaya, Abdullah akan jadi PM yang amat lemah, kerana memerlukan sokongan parti lawan untuk meluluskan sebarang undang-undang yang dibawa ke dewan rakyat.
12. Kita sudah lihat bagaimana kelemahan Kerajaan pimpinan Abdullah telah memberanikan semua pihak untuk membangkitkan berbagai kontroversi yang mengugat kestabilan Negara. Keadaan Negara akan hampir kepada tahap tidak ada Kerajaan dan tidak ada undang-undang apabila Kerajaan Abdullah menjadi lebih lemah.
13. Di masa yang sama Negara akan hadapi krisis kewangan dan ekonomi yang lebih teruk dari 1997-1998. Pentadbiran yang lemah tidak mungkin tangani kemerosotan ekonomi yang jauh lebih teruk dari 1997-98. Rakyat akan menderita kerana peningkatan pengangguran dan bankrap. Jenayah akan bertambah dan keselamatan negara akan tergugat.
14. Bagi Tingkat Empat huru-hara dalam Negara tidak mengapa asalkan mereka dapat kekal sebagai kuasa dibelakang Perdana Menteri.
15. Mungkin cerita-cerita berkenaan usaha Tingkat Empat untuk mengekalkan Abdullah sebagai Perdana Menteri selepas Najib jadi Presiden UMNO hanya rekaan orang-orang tertentu, wallahuwaalam. Demikian jugalah dengan Labu. Si-Luncai pun terjun dengan segala-galanya.
Source:www.chedet.co.cc
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment